Kiulu, 10 Januari: – Kem Perubatan 2016 membuka tirai
barunya dengan kejayaan melaksanakan program tersebut di Kg. Tudan Kiulu Tuaran.
Program yang diadakan dari jam 10.00 pagi hingga 2.00 petang itu mendapat
sambutan luar biasa dari masyarakat Kg. Tudan sendiri serta penduduk
kampung-kampung berdekatan. Kepuasan jelas terpancar pada wajah setiap
pengunjung yang hampir kesemuanya mengambil kesempatan melakukan pemeriksaan
perubatan. Pelbagai perkhidmatan perubatan percuma disediakan seperti
pemeriksaan tekanan darah, tahap glukosa, mencabut gigi, psikiatri, mata serta
menderma darah dan diselangi dengan cabutan ‘nama bertuah’.
Dalam ucapan perasmiannya, ADUN N.11 Kiulu YB Datuk Joniston
Bangkuai merakamkan penghargaan kepada pihak Hospital Tuaran dan pasukan
penganjur atas kejayaan melaksanakan Kem Perubatan di tempat yang agak
terpencil dalam daerah Kiulu ini. Kedatangan pengunjung yang melebihi 300 orang
adalah melebihi sasaran, dan ini membuktikan keperluan perkhidmatan kesihatan
di Kg. Tudan.
Dalam ucapannya, YB Datuk Joniston yang juga merupakan
Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah mengumumkan cadangan agar sebuah klinik
dibina di Kg. Tudan.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Yang Berbahagia En.
Joisin Romut, Setiausaha Politik kepada Menteri MOSTI Malaysia; selain
pemimpin-pemimpin masyarakat serta pakar-pakar perubatan.
Kem Perubatan 2016 adalah anjuran bersama Hospital Tuaran,
Klinik Pergigian Tuaran, Pejabat ADR P.170 Tuaran, Pejabat ADUN N.11 Kiulu,
Sabah Indian Association, Kota Kinabalu Hindu Temple Association, Malaysia
Hindu Sangam-Sabah State Council, Singh Sabha Kota Kinabalu, Ahli Lembagai
Pelawat Hospital Tuaran dan JKKK Kg. Tudan.
Kombura Discovery