Monday, September 19, 2016


Kg. Tudan Kiulu dan Apiculture Tanah Tinggi Banjaran Crocker

Apiculture Kg. Tudan Kiulu Tuaran



Haif separa moden komuniti Kg. Tudan Kiulu Tuaran (17.9.2016)

Sejak diaktifkan semula oleh JICA pada tahun 2014, aktiviti pemeliharaan lebah madu (apis cerana) dan kelulut (trigonna sp./tantadan) semakin rancak dalam kalangan komuniti di Kg. Tudan Kiulu. Bantuan alatan penyediaan haif (bohungon) oleh JICA kepada 15 ahli komuniti dalam fasa pertama program telah berjaya membekalkan sebanyak sekurang-kurangnya 20 buah haif bagi setiap peserta. Bagi sesetengah peserta, bilangan haif tersebut merupakan tambahan kepada haif sedia ada masing-masing, manakala bagi peserta lain (termasuk penulis), ia merupakan haif pertamanya dalam aktiviti pemeliharaan lebah  ini (apiculture). 

Hasil pengaktifan semula apiculture Kg. Tudan Kiulu telah  mulai tampak pada setengah tahun 2015 di mana sebahagian peserta telah menuai hasilnya dalam bulan April dan Mei tahun tersebut. Hasil penuaian madu lebah ini semakin ketara 4 bulan berikutnya iaitu pada bulan September 2015 di mana sebahagian besar peserta berjaya menuai antara 3 kilogram hingga 8 kilogram madu bagi setiap haif apis cerana! Pada masa yang sama, sebilangan peserta turut menuai hasil madu trigona sp. (tantadan). Penuaian hasil madu terus berlaku sehingga pertengahan bulan Disember pada tahun yang sama. 
Aktiviti pemeliharaan lebah madu terus bergiat aktif pada tahun berikutnya. Selain peserta, pengeluaran madu lebah turut dilakukan oleh ahli komuniti lain termasuklah dari kampung sekitar. Pemerhatian mendapati bahawa penuaian madu lebah agak ketara pada bulan April dan Mei dan pada bulan September. 

Hasil madu didagangkan dalam bentuk mentah iaitu dijual bersama dengan sarangnya ataupun dalam bentuk ekstrak. Pelanggan atau pembeli pula terdiri daripada ahli komuniti setempat serta komuniti luar. Hasil madu berkenaan dijual di gerai tepi jalan Kg. Tudan Kiulu di jalan Tambunan – Kota Kinabalu (KM52), di tamu Donggongon dan Tambunan, serta jualan terus kepada pembeli. Observasi turut mendapati bahawa bekalan madu adalah kurang berbanding dengan permintaan. Harga jualan adalah sangat berpatutan dan tidak ada masalah lambakan stok disebabkan madu lebah yang dijual adalah tulen.

Aktiviti pemeliharaan lebah madu di Kg. Tudan Kiulu mempunyai prospek cerah untuk dimajukan. Hasil aktiviti ini telah memberikan pendapatan sampingan kepada komuniti kampung. Selain itu, aktiviti pemeliharaan lebah ini turut mempopularkan Kg. Tudan Kiulu sehingga menjadi tempat mencari madu lebah tulen. Aktiviti ini juga mempunyai prospek cerah untuk dijadikan sebagai salah satu produk agro-pelancongan di Kg. Tudan Kiulu khususnya di kawasan tanah tinggi daerah Kiulu amnya.

Pihak komuniti khususnya para peserta program apiculture ini akan sentiasa proaktif untuk menjayakan lagi aktiviti pemeliharaan lebah ini. Kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan lebah kepada peningkatan pendapatan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar menjadi pendorong utama kepada setiap pengusaha apiculture dalam kalangan komuniti kampung. Bantuan teknikal serta khidmat nasihat daripada pelbagai pihak seperti JICA, jabatan-jabatan Kerajaan Sabah dan Persekutuan serta pihak swasta sememangnya turut membantu kemajuan perusahaan lebah madu khususnya di Kg. Tudan Kiulu Tuaran. 


Semoga semua peserta program apiculture khususnya dan semua ahli komuniti setempat Kg. Tudan Kiulu Tuaran terus proaktif, bersemangat, berdikari, tolong-menolong serta inovatif demi kemajuan industri apiculture ini.

Kombura Discovery
19.9.2016





Haif separa moden di Kg. Tudan Kiulu Tuaran






Search 2.0

Montok manganu/download mantad youtube

  • http://keepvid.com/