Kegigihan anak Sabah berjaya di Semenanjung
$entry.content.caption.value
BAK kata pepatah, bersusah susah dahulu, bersenang senang kemudian. Begitu juga dengan Dennis Tamin G atau nama Islamnya, Zuhair Abdullah 31, dari Sabah yang gigih bekerja sebagai pemandu dan kini berjawatan tinggi di MostWell Holding Sdn Bhd.

Berkongsi cerita mengenai dirinya, anak keturunan Dusun Kadazan memberitahu seawal usia 19 tahun mula berhijrah ke Semenanjung selepas diajak ibu saudaranya yang ketika itu bekerja dengan anak syarikat tersebut, Pusat Latihan Kraftangan Epal (Epal).

Pada awalnya, keluarga Dennis tidak bersetuju untuk bekerja di sini kerana bimbangkan keselamatan dirinya. Bagaimanapun setelah diyakinkan, barulah mereka merelakan untuk dia mencari rezeki di rantau orang.

Menurutnya, walaupun gaji pemandu ketika itu hanya RM450 sebulan, itu bukanlah masalah baginya, sebaliknya dia sentiasa berusaha dan bersabar untuk memperoleh pendapatan lebih.

Sebelum berhijrah ke Semenanjung, dia melakukan pelbagai kerja di Sabah, tetapi kebanyakan kerja tidak berkekalan lama kerana mahukan lebih cabaran dan jaminan masa depan.

“Paling lama pun saya kerja selama enam bulan, selepas itu saya tukar kerja ikut kekosongan dan kemahiran yang saya miliki. Sebelum kerja di Epal, saya juga pernah bekerja di Pulau Pinang sebagai pekerja ladang ternakan ayam tetapi ia tidak kekal lama dan saya pulang semula ke Sabah seterusnya bekerja di Sabah,” jelasnya.

Tetapi kepulangan ibu saudaranya ke kampung di Sabah ketika itu telah mengubah fikiran Dennis untuk mencuba nasib dengan memohon bekerja di syarikat sama sebagai pemandu.

“Ketika ibu saudara saya menyarankan membuat permohonan, saya baru mendapat lesen memandu. Setelah memikirkan secara mendalam dan meminta pandangan keluarga, saya mengambil keputusan untuk mengikutnya ke Semenanjung dan bekerja di MostWell sebagai pemandu,” katanya kepada Sinar Harian.

Beri peluang

Dennis yang kehilangan ayah ketika usia 13 tahun berkata, agak mencabar baginya yang baru mendapat lesen memandu di Semenanjung berbanding di Sabah kerana faktor jalan raya dan lalu lintas jauh berbeza.

“Namun atas kesabaran dan keyakinan, saya beranikan diri untuk teruskan pekerjaan ini selama empat bulan sebelum dinaikkan pangkat menjadi pengutip duit daripada pelanggan.

“Cabaran sebagai pengutip duit pula adalah perlu berani dan ramah apabila bertemu pelanggan. Kerana ada ketikanya kami perlu mengetuk pintu rumah orang untuk mengambil wang,” kata anak sulung dari tujuh beradik.

Disebabkan ibunya tidak bekerja dan berharap bantuan kebajikan, menjadikan dirinya lebih berdikari serta bertanggungjawab untuk membantu keluarga yang susah di kampung halaman.

“Rezeki dan kesabaran saya bertambah setelah membuat keputusan untuk masuk agama Islam pada tahun 2000 atas ajakan seorang rakan. Keluarga tidak menentang pertukaran ini kerana ibu beragama Islam, manakala mendiang ayah penganut Kristian.

"Di tempat saya, ibu bapa memberi kebebasan anak untuk memilih agama apabila dewasa. Justeru menjadi Muslim memang pilihan terbaik bagi saya," katanya.

Setelah 12 tahun bekerja di Epal, kini jawatan Dennis sebagai Pengurus Bahagian Penyelenggaraan Epal, berupaya membeli rumah sendiri hasil titih peluh bekerja dengan penuh kesabaran.

Kemanisan bekerja di Epal baginya bertambah apabila bertemu jodoh dengan isterinya Norlida Akib, 33, yang juga berasal dari negeri di Bawah Bayu. Setelah 10 tahun melayari bahtera rumah tangga, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan yang masing-masing berusia tujuh tahun dan sembilan tahun.

Berani hadapi cabaran

Norlida yang juga Pengurus Cawangan Epal Bandar Puteri Puchong turut berkongsi pengalamannya bekerja di syarikat sama setelah diajak oleh rakannya yang juga majikan Epal ketika itu.

“Sebelum bekerja di sini, saya sangat pemalu, mahu bercakap dengan orang pun saya fikir banyak kali. Tetapi apabila telah bekerja sebagai tenaga pengajar di sini dan mendapat latihan, saya mula berani berhadapan dengan orang ramai.

“Saya berpegang pada prinsip jika orang lain boleh berjaya, kenapa tidak saya. Justeru melihat rakan lain boleh melakukan kerja dengan cemerlang membuatkan diri saya cemburu untuk berjaya seperti mereka sehinggalah kini menjadi pengurus cawangan,” katanya yang berketurunan Bajau.

Norlida berkata, selain menjadi berani, dia turut dapat meningkatkan kemahiran menjahitnya setelah diajar oleh pihak pengurusan Epal. Antara jahitan diajar seperti menjahit baju, manik, beg, selimut, cadar, permaidani, sarung bantal dan langsir. Turut diajar adalah membuat perhiasan wanita.

“Apa yang penting adalah keberanian kita mencuba perkara baru dan sabar jika menghadapi sebarang ujian. Berkat kesungguhan serta kesabaran itulah nanti akan memberi kejayaan kepada kita,” jelasnya.

Dennis dan Norlida turut menghargai jasa baik majikannya yang selama ini prihatin ke atas pekerja dan banyak memberi dorongan sehingga mereka mencapai tahap kecemerlangan kini.

Kombura Discovery: 
Kangku daa... 
Iri kagarason om kotoboion do ginawo no ii tonudon tokou kopio. Nung amu tokou minsoosondiri toi mimpori-pori nga gisom soira amu kotopong koimayaan do suai. Nga montok dati ngai, soira nokoingkawas, kada toko kolihu nantadon.